Keunikan budaya merupakan identiti sesebuah negara.
Masyarakat dan adat adalah sesuatu yang sangat sinonim yang tidak dapat
dipisahkan. Malaysia memang terkenal
dengan pelbagai bangsa dan kemewahan budaya.
Kepelbagaian budaya di negara ini merupakan satu aset yang
bernilai dan harus terus dipelihara agar dapat dikenali oleh generasi di masa
hadapan. Bagi mengenali dengan lebih dekat dan secara langsung, pengunjung
boleh melawat ke Sarawak Cultural Village (Kampung Budaya Sarawak), Suntubong,
Kuching, Sarawak.
Sarawak Cultural Village, merupakan satu lokasi paling ideal
buat pengemar budaya dan adat tidak kira untuk pengunjung dalam atau pon luar
negara. Sarawak Cultural Village, bakal memperkenalkan kehidupan sebenar etnik
yang wujud di Malaysia terutamanya di Negeri Sarawak.
Perjalanan yang mengambil masa 45 minit dari Bandar Kuching,
pasti berbaloi dengan pengalaman yang bakal dirasai sendiri di Sarawak Cultural
Village ini. Setelah disajikan dengan pemandangan indah sepanjang perjalanan ke
Sarawak Cultural Village, pengunjung bakal disajikan pula dengan keistimewaan
yang tersembunyi di bumi kenyalang ini.
Sarawak Cultural Village merupakan antara lokasi wajib
dikunjungi apabila anda berada di Sarawak. Rugi jika ke Sarawak tapi tidak
singgah ke Sarawak Cultural Village ini. Dengan hanya dikenakan bayaran
sebanyak RM 60.00 setiap seorang dewasa dan RM 30.00 kanak-kanak, pasti tidak
merugikan dengan apa yang terdapat di sini.
“Muzium hidup” ini
memperkenalkan rumah-rumah budaya pelbagai bangsa seperti Rumah Bidayuh, Rumah
Panjang, Rumah Iban, Rumah Orang Ulu, Rumah Penan, Rumah Melanau, Rumah Melayu
dan Rumah Cina.
Setiap rumah mempunyai keunikan yang tersendiri. Selain dapat
merasai sendiri keadaan di dalam rumah, pengunjung juga disajikan dengan
persembahan tarian, alatan tradisional dan juga makanan tradisional etnik
mereka yang dimasak langsung di situ.
Selain itu, pengunjung juga boleh mencuba alatan tradisional
yang terdapat di situ seperti sumpit. Penggunjung boleh mencuba dengan bayaran
hanya RM 2.00 bagi setiap batang sumpit.
Bagi pengunjung yang mahu membawa balik cenderamata pula, terdapat
kraftangan yang dihasilkan oleh etnik
mereka sendiri dan dijual dengan harga yang berpatutan di setiap rumah budaya.
Setelah puas meneroka setiap sudut rumah budaya di Sarawak
Cultural Village, pengunjung bakal dipersembahkan pula dengan pesembahan teater
kebudayaan.
Teater kebudayaan ini mengambil masa 45 minit untuk tontonan
para pengunjung. Dua kali dalam sehari antara jam 11.30 pagi sehingga jam 12.15
petang dan jam 4 petang sehingga jam 4.45 petang. Tarian zapin, tarian Iban,
tarian Melanau, tarian Silat, dan banyak lagi dipersembahkan oleh kaum mereka
sendiri.
Sungguh kagum dengan budaya yang dipersembahkan di Sarawak
Cultural Village ini. Jika sebelum ini, pengunjung tidak pernah melihat sendiri
kekayaan yang dimiliki di negara tercinta ini, kini, anda mampu berbangga dan
kagum dengan nilai keunikan yang negara miliki.
Sarawak Cultural Village, menjadi bukti bahawa masyarakat
Malaysia mampu hidup dalam kelompok masyarakat yang berbilang kaum dan budaya.
Walaupun Malaysia kian pesat membangun dengan kemajuan, namun, budaya dan adat
tidak harus dilupakan. Malah, menjadi satu identiti yang harus dikekalkan.
Seni dan budaya kini dilihat telah menjadi sebahagian
daripada pakej pelancongan yang menyumbang kepada ekonomi negara. Oleh itu, Sarawak
Cultural Village merupakan satu khazanah penting buat bumi kenyalang ini bagi
membantu sektor pelancongan Negeri Sarawak dan Malaysia.
Sebelum meninggalkan Sarawak Cultural Village, pengunjung
bakal membawa balik cenderamata iaitu passport Sarawak Cultural Village.
Passport tersebut akan diberi sebaik sahaja masuk ke Sarawak Cultural Village.
Pengunjung diminta untuk mengambil cop di setiap rumah budaya yang dilawati
sebagai bukti anda telah berkunjung ke rumah tersebut. Setelah selesai semua
kunjungan, passport itu bakal menjadi milik anda sebagai cenderamata.
Waktu operasi
9 pagi – 4.45 petang
Cultural Shows
11.30 pagi – 12.15 petang
4 petang – 4.45 petang
Bayaran Masuk
RM 60 (Dewasa)
RM 30 (Kanak-Kanak 6-12 tahun)
Lokasi
Sarawak Cultural Village, Pantai Damai, Santubong,
Kuching, Sarawak
Hubungi
+6082-846 108 / 846 078
No comments:
Post a Comment